Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 9am

Balik Raya Rumah Mertua, Nabil Dapat Layanan Istimewa?

..

Pelawak dan pengacara Ahmad Nabil tidak pernah menjadikan statusnya sebagai selebriti sebagai peluang untuknya mendapat layanan lebih istimewa daripada keluarga mertua terutama setiap kali pulang beraya.

Menurut Nabil, dia berasa bertuah dan bersyukur dan gembira kerana kehadirannya dalam keluarga isterinya diterima baik malah dia dan ipar lain dilayan sama rata.

"Setiap kali raya, saya dan keluarga sambut secara sederhana saja tapi suasananya tetap meriah.

"Tak ada lah! (dilayan lebih istimewa) Saya sama jer dengan menantu-menantu lain," tuturnya ringkas ketika diusik dia kononnya menantu kesayangan.

Tahun ini Nabil bersama isteri dan anak-anaknya akan menyambut 1 Syawal di Sungai Siput, Perak selama dua hari. Kemudian dia akan pulang ke rumah keluarganya di Mambau Negeri Sembilan selama dua hari.

Selepas itu dia akan kembali bekerja dan menjalankan komitmennya selaku duta dan jurucakap untuk beberapa kempen di sekitar ibu negara.

"Saya cuti raya tak lama. Dua hari rumah mertua, dua hari rumah keluarga saya.

"Lepas tu nampak lah muka saya ni kat Tesco. Dan saya akan ikuti beberapa kempen sepert dengan listerine, Yakult dan Petronas," katanya.

Mengenai persiapan raya pula, Nabil berkata perkara itu kebiasaanya akan diuruskan oleh isterinya, Zira Ayub.

Bagaimanapun mereka sekeluarga tidak bimbang terutama dari segi pakaian kerana komitmennya sebagai salah seorang duta Jakel memudahkan mereka anak beranak untuk mendapatkan pakaian raya.

"Tentang baju raya dah tak perlu fikir sangat sebab Jakel ada. Saya dengan keluarga boleh ambil kain-kain yang berkenan," tuturnya dengan nada berseloroh.

Sementara itu, Ramadan tahun ini Nabil dan isterinya sekali lagi berpeluang menunaikan ibadah umrah pada pada 7 Jun lalu selama seminggu.

"Memang setiap kali Ramadan saya dan isteri akan ambil peluang tunaikan umrah. Tahun ini tahun yang keempat kami pergi ke tanah suci pada 10 malam reakhir Ramadan.

"Kami pergi berdua saja sebab belum bersedia bawa anak-anak, bimbang mereka tak selesa dan sukar nak sesuaikan diri memandangkan suasana di sana sesak dengan para jemaah, katanya.