Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 9am

Janna Nick Beraya Sambil Tonton Piala Dunia di Rusia

..

Mungkin ramai peminat fanatik bola sepak akan berasa cemburu dengan Janna Nick, 23, kerana dia bakal menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2018 di Moscow Rusia selama empat hari.

Meskipun teruja untuk menjadi antara ratusan ribu penonton di negara orang namun pemilik nama sebenar Nurul Jannah ini turut bersedih kerana tahun ini dia tidak dapat meraikan 1 Syawal bersama keluarga.

Pun begitu, kata Janna, dia bersama rombongan penyokong dari Malaysia akan ke stadium memakai baju raya berwarna 'sky blue'

"Tahun ni saya tiada persiapan raya saya tak beraya. Saya akan ke Rusia mewakili telefon jenama Vivo untuk menyaksikan piala dunia 2018.

"Tapi saya dengan rombongan penyokong, kami akan pakai baju warna sky blue. Sambil beraya sambil tengok bola," katanya yang dijangka pulang ke tanah pada raya keempat.

Sementara itu, pelakon drama Isteri Untuk Diiktiraf ini sempat berkongsi perbezaan menyambut raya pada tahun-tahun sebelum ini selepas bergelar selebriti.

Katanya, seperkara paling ketara, semenjak meraih populariti, tetamu yang datang beraya ke rumahnya terutama dikalangan anak remaja lebih teruja meminta untuk bergambar bersamanya. Berbanding sebelum ini, dia diserbu kanak-kanak dan remaja kerana mahukan duit raya.

"Kalau dulu sebelum jadi artis, anak-anak buah, sauadara mara dan tetamu seperti biasalah akan minta duit raya. Tapi sekarang mereka beratur minta mahu bergambar

"Mujurlah saya sudah biasa dikerumuni dan tiada masalah melayan karenah-karenah mereka.

"Saya seronok dan sangat hargai semua yang menyokong kerja saya," kata anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini.

Perkembangan lain, Janna yang bergandingan dengan Zul Ariffin bakal muncul menerusi drama bersiri Jangan Benci Cintaku yang akan ditayangkan di slot Akasia TV3 mulai 29 Jun ini.

Selain itu drama lakonannya, Wan Peah Balik Beraya pada 21 Jun (raya ketujuh) di saluran TV9.