Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 9am

Ada Yang Kecam, Ada Yang Ajak Kahwin

..

Penyanyi yang kini bergelar pelakon, Zarul Husin mengaku menerima kecaman daripada netizen gara-gara watak lakonannya sebagai suami yang mengamalkan poligami dalam drama yang kini hangat ditayangkan bertajuk, Syurga Yang Kedua.

Menurut bekas vokalis kumpulan Umbrella ini, dia bagaimanapun terbuka dan positif dengan kecaman yang dilemparkan netizen menerusi laman sosial seperti Instagram dan Twitter.

Baginya, dia sudah berjaya menghidupkan watak tersebut sekaligus memberi impak kepada penonton yang mengikuti drama berkenaan.

"Ada yang kecam dan marah. Tapi saya anggap ia positif. Lagipun yang mereka marahkan itu adalah Daniel iaitu watak saya bawakan dalam drama itu. Itu bermakna lakonan saya berjaya dan memberi kesan kepada mereka yang menonton.

"Sebagai orang baru dalam dunia lakonan, saya akui pada awalnya saya sendiri kurang yakin dan berasa tertekan. Tetapi episod demi episod, saya semakin selesa dan semakin menghayati watak saya.

"Kru dan produksi juga banyak membantu saya. Alhamdulillah di hujung-hujung episod ni penonton pun nampaknya memberikan komen-komen yang positif mengenai lakonan saya," katanya ketika ditemui pada sidang media program realiti Mentor Otai, di Hard Rock Cafe KL, pada Selasa.

Tatkala diusik dengan pertanyaan kalau-kalau ada kalangan penonton yang mengajaknya bernikah disebabkan terpikat dengan karakter Daniel, sambil tersenyum Zarul berkata,

"Entah lah... banyak sangat komen saya terima (di media sosial) sampai tak terbaca. Kalau ada pun mesej atau komen sebegitu saya sekadar baca saja dan tidak melayan sangat,"jawabnya yang kelihatan tersipu-sipu malu.

Drama Syurga Yang Kedua yang ditayangkan di saluran Astro turut dibintangi pelakon hebat seperti Siti Elizad, Fasha Sandha, Azizah Mahzan, Jalaluddin Hassan, Fazlina Ahmad Daud dan ramai lagi.

Mengenai perkembangan terbaru, Zarul akan mengalas tanggungjawab sebagai salah seorang mentor dalam program realiti Mentor Otai yang akan bersiaran di TV3, mulai Ahad ini. Tiga lagi selebriti yang turut terpilih sebagai mentor ialah Misha Omar, Tam (Spider) dan Siti Sarah.

Zarul bersama protoge-protogenya pada sidang media Mentor Otai di Hard Rock Cafe, KL.Zarul bersama protoge-protogenya pada sidang media Mentor Otai di Hard Rock Cafe, KL.

Menyifatkan pemilihanya sebagai mentor adalah satu penghormatan, justeru dengan pengalaman yang dimiliki sepanjang bergelar penyanyi, dia akan berkongsi dengan protoge-protogenya garis panduan dalam membina nama sebagai seorang artis.

"Saya bukan cari Zarul nombor dua. Lagipun sesetengah daripada mereka sebenarnya memang sudah boleh menyanyi dan ada suara yang bagus.

"Jadi saya cuma akan berkongsi dengan mereka pengalaman yang saya ada. Saya bukan mengajar sebaliknya membantu bantu mereka dari segi hala tuju, persembahan, imej dan vokal," katanya.

Selain itu, Zarul bakal muncul dengan single terbaharu berjudul Remuk, yang akan dilancarkan pada awal April depan.