Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 9am

ERL Rancang Kembangkan Perkhidmatan Hingga Ke Melaka

KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) yang menawarkan perkhidmatan tren dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, merancang mengembangkan perkhidmatan itu hingga ke Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noormah Mohd Noor berkata, pelan pengembangan itu bagaimanapun masih dalam peringkat penelitian dan berharap ia dapat dilaksanakan kerana ia dapat memanfaatkan orang ramai ke lapangan terbang utama negara itu dengan mudah.

Beliau berkata, sekiranya ia direalisasikan, perkhidmatan sambungan itu akan menghubungkan penumpang dari KLIA sehingga Melaka yang akan melalui Seremban.

"Bagi laluan lengkap kami menggambarkan ia sebagai laluan tren dari Kuala Lumpur Sentral sehingga ke Melaka yang akan melalui beberapa stesen iaitu Bandar Tasik Selatan, Putrajaya dan Cyberjaya, Salak Tinggi, klia2, KLIA, Seremban dan Melaka.

"Buat masa ini kami masih meneliti sebelum ia dapat dilaksanakan memandangkan ia perlu mengambil perhatian dari segenap aspek pembinaannya," katanya kepada Bisnes NSTP di sini, baru-baru ini.

ERL menawarkan dua jenis perkhidmatan iaitu KLIA ekspres pada harga RM55 bagi tujuan sehala sepantas 28 minit dan KLIA Transit pula tambang adalah mengikut jarak perjalanan dan stesen.

Selain itu, pengendali tren itu juga melancarkan KL TravelPass, tiket bersepadu menggunakan platform Touch 'n Go bagi semua jenis pengangkutan tren khusus kepada pelancong pada 2015.

Noormah berkata, prospek bagi industri rel adalah begitu meluas kerana ia bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh orang ramai malah ia adalah kebaikan secara bersepadu.

"Ini terbukti kerana ia dapat mewujudkan limpahan pembangunan di sepanjang laluannya seperti memberikan nilai tambah kepada hartanah di sekitarnya.

"Sebagai contoh, kita dapat lihat Salak Tinggi kini menjadi kawasan yang membangun dan tidak hanya bertumpu kepada sektor pertanian seperti kelapa sawit semata-mata," katanya.

Tambahnya, dengan wujudkan tren laju ini, ERL pada masa sama menawarkan mobiliti kepada orang ramai yang ingin ke KLIA dan klia2 dengan mudah menggunakan perkhidmatannya sepanjang 57 kilometer itu.

"ERL adalah projek rel yang dibina hanya pada kos yang rendah iaitu RM2.4 bilion menjadikannya sebagai terendah di dunia dengan kualiti berkelas dunia.

"Sejak mula beroperasi pada 2002, kami mendapat banyak reaksi positif dari orang awam serta pelancong luar negara yang berpuas hati dengan servis yang ditawarkan," katanya.

- BH Online