Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 9am

Bimbing Pelajar Bermasalah Bukan Terus Buang - Mohamad

Datuk Seri Mohamad HasanDatuk Seri Mohamad Hasan

SEREMBAN -- Pelajar yang bermasalah di sekolah haruslah dibimbing dan bukannya terus membuat keputusan untuk menamatkan persekolahan mereka, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata masalah pelajar di sekolah biarlah diselesaikan di dalam sekolah kerana jika pelajar ini dibuang, ianya akan menjadi lebih serius yang akan menyumbang kepada masalah dalam struktur kemasyarakatan.

"Jangan kita terus membuang pelajar-pelajar yang mempunyai masalah disiplin sebaliknya mengkaji kenapa berlaku masalah tersebut kerana kita (guru) tidak tahu apa masalah yang dihadapi dan juga latar belakang mereka.

"Di Negeri Sembilan kita ada membuat program dipanggil EMAS iaitu singkatan kepada Engkau Masih Ada Yang Sayang yang ditaja oleh kerajaan negeri bagi pelajar bermasalah," katanya dalam ucapan makan malam Persidangan Pengurusan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Perak ke-57 2018 di sini, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Dr Amin Senin dan Yang Dipertua MPSM Perak Ibrahim Mat Diah.

Mohamad berkata selepas pelajar menjalani Program EMAS tersebut, prestasi mereka semakin melonjak dan tidak lagi menimbulkan masalah kerana hidup mereka lebih tersusun sekali gus dapat menjamin masa depan mereka.

-- BERNAMA